This story really touch my heart.
Perjalanan pulang dari showroom
dengan memandu kereta baru memberi satu pengalaman sangat menguja. Bau dalaman
dan bungkusan plastik masih ada, sudah cukup menceritakan bahawa impian
bertahun-tahun untuk memiliki sebuah kereta hebat telah menjadi kenyataan.
Sesampai di rumah, kereta diparkir di garaj dengan
berhati-hati, sudah tentu sedikit calar akan mengguris kegembiraan yang sedang
dinikmati kini. Isteri, anak termasuk pembantu rumahnya entah berapa kali
berkeliling melihat dari pelbagai sudut dan memuji serta menyebut hal-hal yang
sama berulang kali. Anak kecilnya berumur tiga tahun nampak lebih teruja dengan
tak habis-habis keluar masuk kereta.
Malam itu, sebelum tidur juga duduk-duduk di tempat
pemandu dan melihat lagi keretanya sebelum ke katil. Mungkin tidurnya juga
bermimpikan kereta baru dengan warna merelit.
Hari esok, dia bangun penuh ceria,
bergegas menghadap sarapan lalu mencapai beg bimbit untuk ke pejabat.
Kawan-kawan sudah maklum, dan hari ini: Surprise! Begitu rancangannya.
Tetapi apabila dia menghampiri keretanya ada sesuatu
yang sungguh memeranjatkan. Dia mendapati sekeliling keretanya terdapat
calar-calar dengan goresan yang ketara. Beberapa saat terpinga dia hanya
terpaku berdiri kekejangan.
Beg bimbit terlepas daripada genggaman kemudian muka
terasa panas tersimbah dan kem
arahan membakar dada. Spontan datang dalam mindanya
wajah anak kecil yang memang suka menconteng serata dinding. Baru kelmarin dia
belikan kotak pensil warna dan kertas lukisan bagi mengatasi tabiat menconteng
tersebut.
"Adik, mari sini!" Jeritnya kuat memanggil
anaknya, nafasnya tertahan-tahan dalam membuak api kemarahan."Budak ini
kena ajar," getus hatinya, berani benar anaknya menggores kereta barunya.
Si anak penuh ketakutan seperti seekor burung ciak yang
menggigil dibasahi hujan. Tanpa berlengah bersama arus kemarahan yang sukar
dibendung si ayah memukul anaknya di serata badan sambil mulutnya tak
sudah-sudah menghamburkan kemarahan. Anak kecil ini hanya meraung dan menangis
tetapi dalam hati rasa bersalah atas apa yang dia telah lakukan.
Kemarahan ayah masih belum reda lantas mengambil
pembaris besi nipis dan dipegangnya tangan anak. Pembaris tersebut
diracik-racikkan ke tangan si anak sambil ayahnya berkata, "Ini ayah nak
ajar kamu!"
Ia terus mengherdiknya berulang kali. Kalaulah tidak
disabarkan oleh isterinya mungkin jadi lebih teruk lagi anaknya. Anaknya
tersepuk dalam dakapan pembantu rumah dengan sedu-sedan serta air mata terurai.
"Mana pensel warna yang ayah belikan
semalam?" bentak ayahsambil mencari pensel warna yang baru dibelikan itu.
Si ayah merampasnya dan mencampakkannya ke dalam kereta.
Pagi tersebut sangat murung buat anak, sangat perit
buat ayah. Ayah masuk ke dalam kereta, menghempas pintu, menekan pedal minyak
dan berlalu pergi tanpa menoleh. Ibunya pula hanya punya masa sebentar kerana
terpaksa bergegas untuk urusan jauh ke luar daerah.
Tinggallah anak ini dengan air mata berlinangan, sedu,
tangis dan kesakitan.
Ayah yang masih marah dan tidak dapat memaafkan anaknya
terus menghantar kereta ke bengkel dan dia hanya di luar sepanjang hari. Buat
sementara tertutup hati untuk balik ke rumah.
Lewat petang, telefon bimbitnya berbunyi, dengan malas
dia mengangkat kerana dia tahu itu panggilan dari rumahnya.
"Bapak, apa saya perlu buat? Adik asyik menangis
dan demamnya kuat sekali." Adu pembantu rumah di hujung talian dalam butir
bicara keliru.
'Biarkan dia, saya nak ajar dia cukup-cukup!"
Dengan marah dia terus mematikan telefon bimbitnya.
Malam itu, ayah tidak pulang ke rumah. Namun ketika
lewat malam telefon bimbit berbunyi bertalu-talu daripada nombor yang dia tidak
tahu. Dia mengangkatnya. Amat mengejutkan panggilan tersebut dari sebuah
hospital meminta dia datang dengan segera. Tanpa berlengah, dia terus ke
hospital.
Dia mendapati isterinya turut berada di sana. Pembantu
rumah yang bergegas membawa anak ini ke hospital juga turut bersama dengan
wajah sugul bercampur rasa bersalah. Dia terus meluru masuk berjumpa doktor
bagi mengetahui kondisi anaknya. Alangkah pilunya apabila ia diminta
menandatangani akuan bagi melakukan pembedahan bagi memotong pergelangan tangan
anaknya..
"Seluruh sarafnya telah rosak dan bakteria telah
masuk ke dalam sum-sum tulang, kami tidak ada pilihan melainkan terpaksa
memotongnya untuk menyelamatkan nyawa anak ini." Jelas doktor dengan
gambar x-ray dan analisis lain penuh di atas meja. Dengan hati yang berat dia
menurunkan tandatangannya.
"Hari malang apakah ini..." tangis hatinya
dengan rasa sesal yang tidak dapat dibendung mengenang nasib anaknya.
Si ayah melihat dengan penuh simpati pada wajah comel
anaknya yang telah terbaring setelah melalui pembedahan yang panjang. Dia tidak
pasti apa perasaan sepatutnya ketika itu. Berulang-alik rasa bersalah,
kasihankan si kecil, bodohnya tindakan, menyesal, simpati dan semuanya tidak
jelas tapi satu yang jelas ialah tangan anaknya telah kudung.
Apabila si anak sedar, dia melihat ayah dan ibunya
berada di sisi. Dia menangis sambil memohon kemaafan.
"Ayah... Maafkan adik, adik janji tidak akan gores
kereta ayah lagi."
"Ayah tolong pulangkan pensel warna adik ... Adik
nak melukis," rayu anak kecil itu dalam esakan meninggi mengemis simpati
ayahnya.
Kelu lidah ayahnya, hanya air mata hangat mengalir dan
di dalam dada sarat tergumpal rasa sesal. Dia hanya mampu menatap wajah anaknya
yang masih menangis.
Tapi kemudian apabila anak ini tersedar tentang
tangannya yang kudung, saat itu dia berkata dalam kesayuan, "Ayah, tangan
adik dah tak ada, adik dah tak boleh melukis lagi, kalau adik dah besar nanti
macamana nak jaga ayah..macamana adik nak mandikan ayah. Tangan adik dah tak
ada lagi...Ayah, pulangkan tangan adik."
Tangisan adik terlalu kuat, sangat menyayat hati. Ayah
hanya mampu menangis semahu-mahunya. Apakah yang mampu dia perbetulkan kini?
Dia merangkul anaknya dengan pandangan kosong melihat anak bersama cita-citanya
yang berkecai dan berderai.